Hormati penyokong percuma Anda.
Sekarang mereka kata Asalkan Bukan Umno.
Nanti jika perangai anda lebih teruk dari Umno mereka kata Asalkan bukan Anda.
Oleh ben_omaiben
Pergerakan dinamik politik di tanah Borneo Utara adalah tidak kurang menariknya berbanding dengan di Semenanjung. Sehingga kini nampaknya tarik tali antara Barisan Nasional Sabah dan Barisan Pembangkang Sabah telah menghasilkan keputusan jelas iaitu kelebihan tiga mata tanpa berbalas, 3 - 0. Lajim, Bumburing dan Maijol sudah beralih angin sejak beberapa minggu lepas.
Tiada siapa yang tahu sama ada akan ada lagikah yang bakal menyusul atau tidak. Namun sehingga sekarang belum ada tanda-tanda ahli-ahli politik pembangkang yang hendak beralih arah ke Barisan Nasional. Sedangkan jika dika dipandang dari sudut pengurusan kewangan yang pruden, wang yang diterima sekarang adalah lebih baik berbanding dengan wang yang bakal diterima pada masa hadapan.
Memasuki kem BN akan memberi pulangan kewangan yang serta merta jika anda adalah ahli politik yang mempunyai nama, mempunyai nilai berita dan ada pengikut ketara yang sentiasa membontoti ke mana sahaja anda pergi. Memasuki kem Pembangkang lebih merupakan pelaburan yang berpulangan tinggi. Ia menjanjikan pulangan yang lebih besar di masa hadapan, tetapi risikonya juga tinggi jika salah peraturan.
Jadi, begitulah. Belum ada seorang pun dari pihak pembangkang hendak beralih kepada Barisan Nasional. Oleh itu, keputusan sehingga kini adalah tetap 3 - 0.
Apa yang penting pembangkang bukan hanya mesti berusaha untuk menarik pemimpin BN kepada mereka. Pembangkang hendaklah juga menjaga penyokong-penyokong percuma mereka.
Pembangkang harus jaga penyokong PERCUMA mereka
Orang-orang yang menggerakkan jentera pembangkang secara percuma. Menulis dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan pembangkang dengan sukarela tanpa sebarang imbuhan sama ada dalam bentuk kewangan atau bukan. Namanya saja menyokong pembangkang. Pembangkang pun bukan semua pandai, ada juga yang bodoh-bodoh. Jangankan hendak menyogok balasan dalam bentuk kontrak yang bernilai jutaan ringgit, ada kalanya berselisih bahu pun pura-pura tidak kenal.
Pemimpin-pemimpin pembangkang perlu juga ingat bahawa penyokong-penyokong percuma ini samalah macam baju percuma yang kena beri. Mungkin ia padan untuk anda, mungkin juga. Tetapi tanpa sedikit usaha seperti keperluan untuk mengubah suai di sana sini, janganlah terlalu berharap ia akan muat dan sesuai untuk dipakai.
Namanya kan percuma. Sesaat akan menyokong, pada masa yang lain pula boleh mengkritik anda selantang-lantangnya. Apa yang penting, mereka tidak bersifat memusuhi anda itu pun sudah dikira baik.
Penyokong percuma adalah golongan manusia yang boleh berfikir. Pada masa tertentu mereka datang menyokong tanpa anda sedari kerana apa yang anda perjuangkan didapati sesuai dengan kehendak-kehendak akal dan prinsip yang mereka mahu. Jika kemudiannya anda menyimpang, mereka akan pergi.
Bagi setengah penyokong percuma, bersekutu bersama anda merupakan suatu bentuk 'marriage of convenience'. Terdapat matlamat yang yang perlu disekutu, jadi bersekutulah mereka dengan anda.
Di dalam politik negara kita pada masa ini matlamat utama yang kelihatan ialah "Asalkan Bukan Umno". Maka mereka bersama anda.
Jika suatu hari di dalam beberapa tahun yang akan datang setelah menang dan mereka mendapati perangai anda lebih teruk dari Umno, mereka akan datang kembali dengan slogan baru, "Asalkan bukan Anda".
Walaupun mereka tidak mengharapkan imbuhan kewangan, semangat ikram dari barisan pembangkang tetap diperlukan. Anda perlu meluangkan masa dengan mereka. Anda harus mengatur pertemuan jika perlu. Anda harus membekalkan mereka dengan maklumat yang terkini dan bersesuaian untuk dihebahkan. Pendek kata, anda harus melibatkan mereka.
Anda harus menghormati mereka.
0 comments:
Post a Comment