Home » , , » Linda Tsen Thau Lin Tidak Memerlukan Simpati Batu Sapi

Linda Tsen Thau Lin Tidak Memerlukan Simpati Batu Sapi

Written By Unknown on Friday, 29 October 2010 | 22:42

Pilihlah Linda kerana kepemimpinan yang ada, dia tidak memerlukan simpati anda sebagai pengundi di Batu Sapi.



SANDAKAN: Housewife and part time music teacher Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, has been named the Barisan Nasional candidate for the Batu Sapi parliament seat.

Linda, the widow of MP Datuk Edmund Chong Ket Wah, is also the deputy wanita chief of the Elopura Parti Bersatu Sabah (PBS) division that was headed by her late husband. Berita Penuh

Linda merupakan balu kepada Ahli Parlimen Batu Sapi, Mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya pada 9 Oktober 2010.

Bukanlah pula maksud saya menidakkan kesedihan seorang balu yang sedang nestapa terkatung-katung ditinggalkan suami yang pergi selama-lamanya.

Bukan. Setinggi-tinggi belasungkawa untuk Linda.

Akan tetapi, baru 18 hari ditinggalkan suami, Linda telah bertungkus lumus menjadi calon BN di Batu Sapi mengganti mendiang suaminya.

Contohlah, sekadar contoh. Katakan seorang isteri yang baru 18 hari menjadi balu kemudian berkahwin lagi dengan lelaki lain, mungkin simpati anda dengan sendirinya akan menjadi berkurangan.

Tetapi ini tentulah kes yang lain. Bukan kahwin lagi, tetapi keberanian menjadi calon. Atas alasan perjuangan suami yang belum selesai mungkin. Walaupun dalam tempoh berkabung.


Jadi bersangka baiklah kita. Tentulah agaknya dek perjuangan yang belum selesai. Ia adalah seumpama bila Perdana Menteri India, Indra Gandhi dibunuh pada tahun 1984, anaknya Rajiv Gandhi mengambilalih. Apabila Rajiv pula dibunuh pada tahun 1991, Parti Kongres India menjadi gelandangan tiada tempat mengadu, isterinya Sonia Gandhi mengambilalih. Bila isterinya Sonia tidak mampu meneruskan, anak mereka Rahul Gandhi pula mengganti tempat.

Boleh jadi perjuangan belum selesai bagi tanggapan sesetengah orang. Akan tetapi bagi sesetengah yang lain, ini boleh juga ditafsir sebagai percubaan melahirkan suatu dinasti. Percubaan untuk menjaga kepentingan keluarga atas alasan kesinambungan perjuangan.

Nepotism.

Cronyism.

Tambah-tambah lagi di Batu Sapi.

Pertamanya, jika benar meneruskan perjuangan. Rakyat harus diberi penjelasan mengenai apakah bentuk perjuangan mendiang Edmund yang tidak dapat difahami dan mampu diperjuangkan oleh orang lain selain Linda. Projek mega? Ataupun suatu pelan besar pembangunan jangka panjang kawasan Batu Sapi spara rahsia yang direncana oleh mendiang Edmund. Agaknya bak kunci rahsia harta peninggalan sang lanun, hanya sebahagian darinya yang diketahui oleh jentera PBS / BN / kerajaan, sementara sebahagian lagi hanya dapat difahami oleh balu beliau. Jika ada, ini merupakan justifikasi kenapa Linda dicalunkan.

Kedua, mendiang suaminya bukan meninggal kerana perjuangan seperti dinasti Gandhi yang memerlukan pengambilalihan oleh waris keluarga terdekat, tetapi akibat kemalangan jalan raya.

Ketiga, Linda Tsen masih dalam tempoh pantang berkabung. Sepatutnya ini merupakan tempoh bersedih dan menenangkan diri. Jadi bila dia sendiri bersedia mara ke hadapan mengharung dunia politik yang penuh ceca merba, hiruk pikuk, sumpah seranah dan maki hamun tanpa menghiraukan kesedihan peribadi, beliau sesungguhnya tidak memerlukan simpati kita.

Beliau sekarang adalah dalam keadaan bersiaga dan alasan simpati tidak diperlukan untuk memenangkannya. Sebaliknya dia harus dilayan sama rata mengikut ukuran politik dan kepemimpinan yang biasa.

Oleh itu kita harus meminggirkan kesedihan seorang balu dan mula menilainya seperti kita menilai Datuk Yong Teck Lee dan Ansari Abdullah.

Jadi bagaimana kualiti beliau sebagai pemimpin?

Di sinilah terletak masalah sebenar berkaitan dengan calon PBS / BN ini. Linda Tsen bukan seorang pemimpin. Dia merupakan balu kepada pemimpin.

Benar, dia adalah Timbalan Ketua Wanita Bahagian PBS Batu Sapi. Tetapi dalam amalan tipikal nepotisme, ini bukan merupakan sesuatu yang luar biasa.

Umpamanya, ketokohan tidak diperlukan untuk projek PERMATA naungan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menerima peruntukan RM111 juta di dalam bajet Malaysia 2011 yang berita mengenainya boleh dibaca di sini dan sini. Ini kerana, Rosmah adalah isteri Perdana Menteri Malaysia!

Bagi Batu Sapi, mendiang Edmund merupakan Yang Berhormat di kawasan berkenaan, jadi tidak hairanlah jika Linda mampu mendaki tangga hirarki kepartian di sana.

Dari berita yang dikumpulkan, Linda merupakan surirumah, guru muzik dan mengalami kesukaran berbahasa melayu, menjadi calon di kawasan yang majoritinya berkomunikasi di dalam bahasa melayu. Betullah juga, bukan loyar saja yang layak jadi calon. Guru piano pun boleh. Dreba pun boleh. Dr. Mahathir pun cuma seorang doktor perubatan, berjaya juga menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Tetapi bezanya, dia naik bukan kerana isterinya Siti Hasmah memegang jawatan penting di dalam UMNO.

Tetapi ini merupakan sepak terajang PBS, parti yang diwakili oleh Linda. Dipimpin oleh Huguan Siou, Datuk Pairin yang merupakan ahli politik veteran dengan strategi veteran yang tidak pernah bertukar dari dulu hingga sekarang ,dengan amalan permintaan simpati sebagai senjata ampuh.

1984, simpati diperoleh kerana Pairin dikeroyok oleh Datuk Harris.

1994, simpati didapati kerana PBS dikutak katik oleh Dr. Mahathir.

Pairin cukup faham aspek simpati dalam soal emotional quotient - EQ. Lojiknya kerana apabila suami meninggal dunia, orang akan bersimpati kepada keluarga simati dan besar kemungkinan akan memenangkan parti jika dijadikan ayam tambatan bertanding di gelanggang pilihanraya. Di Sipitang dulu pun, apabila Datuk Jawawi Hj Isa meninggal dunia, balu beliau Datin (kemudian Datuk) Jamilah Sulaiman dijadikan calon, sekarang giliran Linda Tsen pula.

Kerana itulah walaupun terdapat bantahan yang kuat di Batu Sapi tentang keputusan untuk mencalonkan Linda, Pairin tidak peduli. Gasaklah, dia 'kan Huguan Siou. Keluar BN kerana hendak menyertai Semangat 46 kah, nak masuk BN semulakah PBS (Paduli Bah Sia) ni tau apa orang mau sibuk...

Kesimpulannya, simpati tidak diperlukan oleh Linda Tsen.

Anggap saja langkah mempertaruhkan Linda sebagai suatu percaturan politik PBS dengan objektif untuk memenangi pilihanraya kecil Batu Sapi. Rakyat di sana tidak seharusnya memilih beliau kerana simpati.

Jika hendak memilih juga, biarlah dengan ukuran kualiti kepemimpinan yang ada pada Linda sebagai orang yang menawarkan diri menjadi pemimpin.

Selamat bertanding. Nanti kalau dah menang bolehlah sambung balik berkabung.

p.s. Kalau tak faham bahasa melayu gunakanlah Google Language Tool.



Share this article :

0 comments:

Post a Comment

Babad Views

Babad Editor

Popular Posts

 
Babad Support Sites : Kadayan Chronicles | Kadayan Chronicle | Babad Kadayan
Copyright © 2013. Babad Kadayan - All Rights Reserved
Template Created by Kadayan Chronicles Published by Babad Kadayan
Proudly powered by Blogger