Home » , , » Ansari di Batu Sapi: Bukan Ansar, dia Muhajir...

Ansari di Batu Sapi: Bukan Ansar, dia Muhajir...

Written By Unknown on Sunday, 31 October 2010 | 22:45

Sedikit lawak arab. Ansari bukan ansar (penduduk asal) Batu Sapi, dia muhajir (penghijrah).

Tuan loyar. Ada blogger suka sebab Ansari pun mamak juga (Maca, sini orang tak panggil mamak, orang panggil "pra" bah!). Ahli PKR yang bertapak di Tuaran. Dua kali bertanding melawan Datuk Hajiji di sana, dua kali juga kalah.

Bertanding di Batu Sapi, setakat ini sudah dua kali jatuh ke laut.


2 x 2 x 2 = Basah!

Agaknya pergerakan beliau berkempen adalah main redah saja ikut ke mana-mana kaki melangkah, mungkin lebih cepat begitu. Kalau diikutkan, susah juga hendak jumpa insiden calon jatuh ke laut berkali-kali semasa berkempen.

Pekerja-pekerja pilihanraya PKR pun satu. Patut pergilah meninjau kawasan yang hendak dituju terlebih dahulu sebelum calon datang bertandang. Keselamatan calon harus diutamakan, seharusnya ini termasuk dalam bidang pengurusan risiko yang asas. Calon adalah umpama bakal pengantin, darah sedang manis. Buatnya masa berkempen jatuh lemas bukankah naya, palis-palis. Nanti balu pula yang terpaksa dicalonkan. Peringatan untuk Rosnah Rashid Shirlin, pastikan anda cuma berucap di dewan konkrit, elakkan jambatan.

Nasib kedua-dua calon lain yang bertanding, Datin Linda Tsen dan Datuk Yong Teck Lee belum lagi diketahui dengan pasti.

Namun begitu bagi pendapat saya, laluan yang paling sukar di Batu Sapi tidak lain dan tidak bukan bakal dilalui oleh PKR dan Ansari.


Ansari adalah nama asing bagi kawasan Batu Sapi. Halaman politik dan berak kencingnya nun di Tuaran. Dibanding dengan Datuk Yong Teck Lee, ibarat tanah sekangkang kera, kangkang politik Ansari di sana tidak bertambah baik sejak dua kali PRU. Asyik-asyik kalah saja. Ada yang mengatakan Ansari mempunyai masalah personaliti untuk diterima, entahlah personaliti apa hanya orang Tuaran sendiri yang tahu.

Kemudian satu hal pula dengan parti yang diwakilinya, iaitu PKR. PKR bukanlah parti yang disegani di Sabah. Sebagaimana Pakatan Rakyat berjaya membelasah imej UMNO sehingga nyawa-nyawa ikan di semenanjung, begitulah terbalik keadaannya di tebing Laut Cina Selatan sebelah sini.

UMNO Sabah setakat ini berjaya melanyak PKR dengan slogan-slogan negatif terhadap Anwar. Ini adalah perjuangan Anwar, PKR ini merupakan pembalasan api dendam Anwar yang tidak kunjung padam, PKR adalah perjuangan peribadi Anwar untuk kembali berkuasa, kononnya.

Hasilnya pengaruh PKR tidak bertambah baik di mana-mana bahagian di Sabah.

Lebih dari itu paling merosakkan imej PKR Sabah ialah para pemimpin utamanya. Tidak cukup dengan kaki lompat parti, kebanyakan pemimpin ini ialah golongan tua yang tidak mendapat tempat di tempat lain hatta di dalam UMNO sendiri. Ramai diantara mereka adalah pesara-pesara politik dan kerajaan yang hakikatnya "they have nothing to lose" dengan menyertai PKR.

Duit dah banyak, pencen pula. Dari melepak di kedai kopi, baiklah ikut Keadilan, mana tahu pai menjadi, bolehlah jadi menteri sekali lagi. Jadinya PKR Sabah betul-betul menjadi "poor version of UMNO", dan diisi oleh ramai golongan reject. Merabanlah mereka ini dengan nahu dan ejaan-ejaan melayu lama di dinding-dinding internet. Ada di antaranya mungkin tak tahu pun bahawa sistem ejaan melayu baku telah berubah sejak 1973 apabila ejaan melayu-rumi baru diseragamkan oleh Malaysia-Indonesia.

Tetapi jika dibandingkan dengan Pas, PKR lebih diterimalah. Pas memang masih terlalu asing di dunia sebelah sini. Satu sebab utama kenapa Pas sukar diterima selama ini ialah kerana UMNO merupakan cicak kobin (balingkasa) yang boleh bertukar warna. Di Semenanjung mereka mengutamakan "Ketuanan Melayu", di sini UMNO merupakan parti "agama" yang memperjuangkan "kepentingan orang islam". Kalau tidak yakin dengan kenyataan ini, bolehlah periksa sendiri dengan sumber-sumber yang lebih meyakinkan.

Oleh itu, sepatutnya jika Pakatan Rakyat tidak boleh menahan diri daripada bertanding, pencalonan dari DAP sebenarnya lebih meyakinkan di Batu Sapi. Ini kerana imej DAP lebih menyerlah di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu dan Sandakan. Tapi siapa pula yang tak mahu bertanding kalau ada peluang. Bukan saja parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang hendak bersaing, sesama PKR pun berebut-rebut hendak jadi calon sampai ke tahap gaban.

Jadi tentu anda bertanya, jika betul PKR tidak mempunyai sokongan di Sabah, kenapa ramai juga orang mengundi pembangkang setiap kali pilihanraya umum. Jawapannya ialah terdapat sekurang-kurangnya empat ragam utama pengundi di Sabah.

Pengundi UMNO; mengundi USNO turun temurun dan masih melihat bahawa UMNO = USNO.

Pengundi PBS; mengundi PBS kerana simpati kepada Huguan Siou yang asyik-asyik dibuli oleh pemimpin-pemimpin persekutuan dari tahun 1980an.

Pengundi pembangkang; mereka yang kental dengan semangat Sabah. Dulu mungkin mengundi USNO dan PBS tetapi tidak lagi kerana parti-parti berkenaan dianggap tidak lagi memperjuangkan hak mereka dan menjadi budak suruhan KL.

Pengundi apa saja; Mengundi mana-mana saja parti pilihan yang bertaburan di Sabah. Calon yang bertanding juga memainkan peranan dan ini lebih bersangkutan dengan pengaruh peribadi berbanding parti. Wang juga tidak kurang memberikan kesan, terutamanya jika ditabur secukup rasa semasa berkempen (Bom last minit lagi baik!).

Untuk Ansari, selamat maju jaya. Kalau kalah, nanti bertanding lagi di Tuaran.

p.s. Harap-harap jangan jatuh lagi... kali pertama jatuh hari tu dah dua biji henfon rosak, kali kedua ni gerenti rosak satu lagi... jadi dah tiga biji.



Share this article :

0 comments:

Post a Comment

Babad Views

Babad Editor

Popular Posts

 
Babad Support Sites : Kadayan Chronicles | Kadayan Chronicle | Babad Kadayan
Copyright © 2013. Babad Kadayan - All Rights Reserved
Template Created by Kadayan Chronicles Published by Babad Kadayan
Proudly powered by Blogger