Di Malaysia, aku perasan bahawa ahli-ahli politik haruslah menjadi orang yang “suci”, “bebas dari dosa” dan “maksum”. Jika Datuk Angap dan Tan Sri Binga bergaduh dan merupakan seteru nombor wahid politik di antara satu dengan lain tetapi berada di dalam parti politik yang sama, ahha ..., “kesucian” harus dijaga pada peringkat maksimum, seboleh-bolehnya mencapai tahap “nirvana”.
Bertepuk tampar, masing-masing menyatakan tiada masalah untuk bekerja bersama-sama. Tiada apa-apa yang berlaku di antara mereka. Perjuangan parti adalah segala-galanya yang perlu diutamakan. Kenyataan demi kenyataan diluahkan setulus mungkin. Ianya juga akan dicanangkan di dalam semua media masa arus perdana ke seluruh pelusuk negara.
Memang sah, mereka merupakan ahli politik yang “suci”. Pemimpin ideal yang ditatang sepenuh hati oleh para penyokong masing-masing, sebagai orang “maksum” yang akan sentiasa benar, segala kata-kata mereka bakal diiyakan dengan penuh taat setia.
-------------------
Datuk tahu cara paling cepat naik ialah dengan menjatuhkan Tan Sri.
-------------------
Tetapi hakikat sebenarnya bukan begitu. Datuk tahu cara paling cepat untuknya naik ialah dengan cara menjatuhkan Tan Sri dari jawatan yang beliau sandang sekarang ini sebagai Ketua Bahagian Parti.
Ini merupakan masalah besar, tetapi bukan lagi suatu rahsia. Tetapi jenis rahsIa yang “open secret”. Semua orang pun tahu, tapi "kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu". Gegak gempita desas desus yang melanda bahagian mereka sahaja sudah boleh membuatkan Sang Kelembai dan Giin Baantai nun di rimba menyumpah-nyumpah tidak lagi boleh tidur akibat riuh rendah yang amat sangat.
Masalah besar Datuk ialah kerana Tan Sri merupakan bekas mentor politiknya. Tan Sri jugalah yang membawa Datuk, membimbing Datuk sehingga berjaya menjadi orang ternama di bahagiannya sekarang ini.
Pendek cerita, penyelesaian terbaik yang aku nampak ialah mereka tentu akan menggunakan senjata paling ampuh iaitu teknik “tikam belakang”. Datuk dan Tan Sri akan memasang macai-macai terkemuka mereka. Macai-macai ini terdiri dari hayam laki mereka iaitu si Candas dan si Damit.
Si Candas dan si Damit akan menjadi lebih kuah dari nasi yang melaksanakan semua kerja kotor di belakang tabir. Batu api mesti kuat. Macai-macai tambahan di peringkat bawah mesti ada. Sehingga ke peringkat akar umbi semua aktiviti harus dijalankan sekaligus, sama ada aktiviti patut atau aktiviti tidak patut bagi mencapai maksud yang membara.
Datuk dan Tan Sri benar-benar bakal mengikuti jalan yang dianjurkan oleh Niccolo Machiavelli, walaupun mereka sendiri tidak pernah membaca karya si pengarang Itali itu. Ahh, politikus sibuk bah, mana sampat baca buku.
------------------
Senjata politik paling ampuh ialah teknik “tikam belakang”.
------------------
Tetapi petua utama politik, jika hendak memukul lawan, pukullah titik paling lemah mereka. Pukullah sehingga mereka tidak berkutik lagi. Begini, titik kelemahan semua orang ialah kehidupan peribadi mereka. Alang-alang mandi biar basah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang pegang bara api biar sampai jadi arang.
Intip, bilang Si Candas dan Si Damit; pastikan tiada kehidupan peribadi masing-masing yang terlepas pandang. Dapatkan video seks Datukkah, Tan Sri kah, kes sodomi kah.
“Tetapi...” celah si Bagah dari hujung kota. Beliau adalah orang Si Candas. “Keluarkan kes rasuah bah, lagi senang”
Memang senang kerana perkara ini t.s.t – tahu sama tahu yang serba mungkin. Ada kedudukan, ada pengaruh, ada kuasa; perkara yang paling mungkin bagi mereka ini ialah melakukan salahguna kuasa dan salahguna wang.
Tetapi semasa berhadapan, sandiwara harus berjalan terus. “Kesucian” harus tetap dijaga, hanya masa yang menentukan geruh siapa yang bertandang, angai siapa yang melintang.
Tiba-tiba “pop”, keluar video. Keluar kenyataan BPR – Biro Pencegah Rasuah, keluar segala kes Tan Sri.
Hah... melopong, melangap, terkedu macam cicak berak kapur jadinya.
Aku ingat nanti pilihanraya yang akan datang, bila aku menang pilihanraya aku akan mengikuti First Golden Rule – Pembantu aku MESTI lebih dungu dan bodoh dari aku sendiri.
Akan Datang: "Tun" Lim Kit Siang.
0 comments:
Post a Comment