Tempoh pilihanraya dan berkempen merupakan perkara yang agak menyakitkan bagi aku. Sepanjang yang aku ingat, apabila tiba masa pilihanraya, tidak semena-mena seluruh lubuk aantau, setiap pisuk menjadi sibuk dan meriah berpesta. Seluruh kampung dihiasi dengan poster kecil dan besar, tinggi dan rendah serta berwarna-warni dengan pengunjung dari dalam dan luar kampung bertali arus tidak berhenti-henti.
(Perhatian: Kepada semua pembaca KadayanUniverse.Com, artikel ini ditulis dengan diselangselikan dengan beberapa perkataan Kadayan di mana-mana. Kesulitan untuk anda memahami adalah dikesali, tetapi ianya bukan dibuat dengan tujuan untuk menyukarkan pemahaman anda. Sebaliknya, perkara ini selaras dengan tema KadayanUniverse.Com untuk mengetengahkan kebudayaan dan bahasa Kadayan di mata masyarakat. Jika anda ingin mengetahui maksud perkataan-perkataan (selain dari bahasa Inggeris) yang diitalikkan, sila rujuk (dan anda dialu-alukan) ke laman web Kedayan.Org Wiki Apakian? Project di http://kedayan.org)
Tiba-tiba semua orang tampak begitu bersemangat dan kelihatan gembira. Ini ditambah lagi dengan dandanan rapi dan pakaian segak yang juga berwarna-warni. Pekerjaan rutin seolah-olah terhenti dan pilihanraya memang mempunyai tarikan yang tersendiri. Bagaimanapun ini bukanlah sesuatu yang menyakitkan bagi aku.
Yang menyakitkan ialah, semua orang seolah-olah menjadi pandai dan bijaksana. Semua mereka kelihatan ingin bertanding untuk menjadi penghujah yang bernas. Masing-masing mahu suara mereka didengari. Di dewan undangan (kedai kopi) suara kami ahli-ahli tetap dan dianggap senior tenggelam langsung, dek hiruk pikok suara pemidato bermusim.
Tapi aku boleh faham dengan mereka ini. Mereka hanyalah para amateur yang mengada-ngada. Tetapi pemidato luar adalah lebih menggerunkan aku. Rata-rata mereka merupakan orator yang ulung. Betul juga, jika tidak baik masakanlah sampai dijemput untuk bertandang dan berceramah. Nasib baik pilihanraya umum hanya berlangsung setiap lima tahun sekali. Jika setiap tahun, memang gerenti aku tidak lagi boleh cari makan sebagai ahli politik. Malah mentor aku hayam laki pun mungkin telah lama aku korbankan.
“Tetapi bagaimana dengan wang saguhati ngundi” kata liau Sidup di hujung kampung.
“Awu, aku nda ku ngundi mun inda kana baii usin” rungut tangah Mimah. Rumpun buluhnya habis langsung ditebang oleh pekerja parti untuk dibuatkan tiang poster.
“Ada bah, aku kana baii sudah” terang si Kadal.
Itu adalah suara-suara orang kampung aku apabila membicarakan mengenai wang saguhati yang disogok oleh parti kerana kita menunaikan kewajipan pergi ngundi. Semua parti, samaada yang memerintah atau membangkang nampaknya memberi saguhati kepada kami kerana ngundi. Entahlah dari mana datangnya wang berkenaan, tetapi sepanjang pengalaman liau Sidup, tangah Mimah, si Kadal dan lainnya; sekurang-kurangnya RM100- RM200 mesti tetap dapat punya.
Banyak tu, dan ia datang di dalam pelbagai bentuk sama ada sebagai saguhati ngundi, bayaran saguhati tambang pergi balik ngundi atau apa-apa saja yang berkaitan dengan ngundi. Katakan pengundi di satu-satu kawasan tu berjumlah 10,000 orang, kalau RM100 seorang jumlahnya RM1 juta. Wah, suntikan segera (macam suntikan BoTox) untuk ekonomi di satu-satu kawasan memang satu perkara yang baik. Itu baru suntikan dalam bentuk saguhati untuk pengundi, belum lagi termasuk perbelanjaan markas, belanja untuk para orator dan propagandist yang bertandang, bayaran macai-macai untuk mempastikan semuanya beres dan lainnya. Agaknya perbelanjaan satu-satu kawasan boleh mencecah RM2 – 3 juta. Perbelanjaan ini pasti lebih besar untuk pemilihan kawasan parlimen kerana kawasan ngundi yang lebih besar dan bilangan pengundi yang lebih ramai.
Jadi kalau dicongak perbelanjaan setiap kawasan parlimen dalam RM3.5 juta, darab dengan 219 kawasan parlimen di seluruh Malaysia perbelanjaan ini mencecah RM767 juta. Itu perbelanjaan yang mewah bagi parti pemerintah.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------
Lebih RM1 billion wang perbelanjaan pilihanraya bergerak pantas di dalam ekonomi Malaysia sekali bagi setiap lima tahun. Itu baru untuk kawasan parlimen, belum lagi termasuk perbelanjaan pilihanraya untuk peringkat negeri.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tentunya perbelanjaan parti pembangkang agak kurang. Bagaimana jika kita berikan separuh dari jumlah itu, RM284 juta. Jadi, RM284 campur RM767 juta, jumlahnya RM1.15 billion. Wow, lebih RM1 billion wang bergerak pantas di dalam ekonomi Malaysia sekali bagi setiap lima tahun. Itu baru untuk kawasan parlimen, belum lagi termasuk perbelanjaan pilihanraya untuk peringkat negeri. Tidak hairanlah kenapa negara kita digembar-gemburkan sebagai negara yang makmur.
Kalau anda adalah ahli politik dan kebetulan membaca artikel ini, nasib andalah tu. Anda yang memimpin, anda telah mengajar kami menjadi mata duitan dengan mula memberi saguhati sejak pilihanraya Malaysia yang pertama. Jadi kesannya tanggunglah sendiri.
Tapi tidakkah ada sesiapa yang terfikir untuk mengurangkan perbelanjaan ini? Hmmm, memang biut lah fikiran aku ni. Tapi dari mana parti boleh dapat wang begitu banyak wang? Biut lah, biut.
Tapi wang sebenarnya bukanlah satu persoalan pokok di dalam masa-masa ngundi. Ngundi bertujuan untuk memilih wakil rakyat, samaada untuk untuk menganggotai Dewan Undangan Negeri ataupun Parlimen. Apa yang penting bak kata pepatah orang putih; choose the lesser of two evils. Apabila kita berhadapan dengan dua setan politik dan terpaksa memilih satu daripada mereka, pilihlah yang “kurang” setan diantara mereka berdua.
Seorang pembaca menghantar email kepada aku menyatakan bahawa orang suci (holy man) tidak akan ikut politik. Orang alim patut mengejar taqwa, orang politik mengejar kuasa.
Entahlah, macam betul juga semua kata-kata di atas, tapi kalau aku, kalau sudah namanya setan, baiklah aku pilih setan yang paling power, buat apa pilih setan lemah.
Biasanya kempen parti pemerintah ialah mendorong dan menggalakkan kita untuk memilih berdasarkan parti dan bukan berdasarkan personaliti individu yang bertanding. Iyalah, tujuannya supaya kita mengekalkan status quo dan mereka boleh terus berkuasa.
Tetapi kalau calon parti tu satu macaam saja, mesti undi jugakah?
Agak malanglah jika anda mengundi berdasarkan parti. Ikutlah saranan aku. Pilih individu, bukan parti. Individu yang bertanding tu boleh lompat parti bah, Sanang ba itu. Lagi, parti sebenarnya tiada apa-apa pun - a party is nothing. Ianya bukan satu benda yang hidup - it is not a living thing.
Ia hanyalah alat - it just a tool, suatu bentuk persepakatan, dan dikemudikan oleh orang-orang yang berada di dalamnya termasuklah calon lembik - lame candidate berkenaan. Parti Komunis Soviet Union lebih lama umurnya (1917 – 1990) berbanding dengan parti di Malaysia. Tapi sekarang sudah berkubur tanpa nisan.
Tentang kesepakatan, calon bebas pun boleh membuat pakatan dengan bersama-sama memilih lambang payungkah, kuncikah, apa-apakah. Tiada undang-undang yang dilanggar kalau dah namanya bebas, ada saja cara untuk malasut. Ini kerana kalau setakat memilih lambang yang sama belum tentu boleh ditafsirkan sebagai berpakat dari segi undang-undang.
Mengundi merupakan hak bagi setiap warganegara yang layak mengundi. Tunaikan hak anda dengan bijak.
Tetapi bagaimana pula dengan hak kita untuk TIDAK mengundi? Adakah hak ini juga dilindungi oleh undang-undang negara? Di Indonesia golongan ini dikenali sebagai “Golput”, golongan yang memboikot pemilu (pilihanraya) dan tidak nyoblos (ngundi).
Bagaimana pula halnya dengan hak kita untuk memprotes dengan MEROSAKKAN kertas undi?
Alahai biutnya fikiran aku.
Akan datang: Tikam Belakang A la Malaysia.
0 comments:
Post a Comment