Home » » Atuk Apanama, Pak Jib & Pairin

Atuk Apanama, Pak Jib & Pairin

Written By Unknown on Tuesday, 12 May 2009 | 16:11

Written by WaJiD Manis

Sumbat saja si Nizar dan Ngeh ke dalam ISA. Ia adalah di bawah budibicara menteri. Kemudian usahakan untuk beli Sivakumar. Beliau degil dan cakap banyak, harganya mungkin mahal tapi berbaloi.

Guruku Machiavelli 3

Tertidur kerana sibuk membaca blog mengenai perkembangan di Perak ….

Niccolo Machiavelli bertandang dalam mimpiku.

Sempat menemuramah dan bertanya pandangan beliau bagaimana jika aku, salah seorang penganut ajarannya, berpeluang mengendalikan situasi di Perak. Beliau mengusap janggutnya lalu jadi bersemangat dan mula bersyarah

Teks diperbaiki 13 Mei 2009

“Mula-mula, pastikan hakim yang mengendalikan kes kesahihan menteri besar boleh memberikan penghakiman yang menyebelahimu”, ujar beliau.

“Kedua, cari lagi mana-mana YB PR di Perak yang boleh dibeli. Takkan dah tak ada langsung sampai seorang pun tak boleh cari. Jangan peduli cakap YB PR yang berdegar-degar tu. Semua pun tertakluk kepada harga yang sesuai. Takkan ada prinsip yang terlalu tinggi sehingga tiada yang boleh digadaikan. Jika wang tidak cukup kuat, sertakan dengan ugutan yang bersesuaian…”

“Ketiga, sumbat si Nizar dan Ngeh ke dalam ISA. Bukankah ia adalah di bawah kuasa budibicara menteri, siapa pula yang boleh mempersoalkan tindakan kamu”

“Keempat, usahakan supaya kamu boleh membeli Sivakumar. Beliau ni nampaknya degil dan cakap banyak, harganya mungkin mahal, tapi amat berbaloi jika dia berada di pihak kamu”

“Kelima, gunakan sepenuhnya media arus perdana untuk menyemai bibit perpecahan di antara parti-parti anggota PR. Kamu pun tahu mereka ini saling berbeza segala-galanya dari perkara pokok hinggalah perkara akar dan ranting perjuangan. PR hanyalah umpama sekawan itik, ayam dan angsa tinggal sekandang. Akan tetapi tulisan di media arus perdana harus lebih bermutu berbanding dengan apa yang ada sekarang ini. Berita sekarang ... kalau suratkhabar itu percuma pun tak ramai orang yang akan mengambilnya. Atuk nenek pun dah tak suka dengar.”

“Keenam, upah seramai mungkin blogger untuk menulis yang muluk-muluk mengenai kamu. Ini kerana terdapat kecenderungan orang ramai untuk lebih percaya kepada bloger sekarang. Dalam masa yang sama sesetengah blogger juga nampaknya mempunyai agenda mereka sendiri. Belanjanya agak murah, kerana mereka ini hanya syok sendiri saja”

Nasib baik aku terus terjaga, jadi selamatlah dari syarahan panjang si Machiavelli.

Tapi selepas merenung kembali kata-katanya, aku mendapati ada kebenaran juga. Jika BN dah sanggup memulakan pembelian 3 orang ADUN sebelum ini, kenapa tidak diperluaskan lagi dengan menggunakan cadangan si Machiavelli yang disebutkan di atas tadi.

Mengenang masa lalu, di sinilah kekuatan Atuk Apanama yang perlu ada pada Pak Jib.

Atuk Apanama memang tegas dan amat berkuasa. Seperti katanya sendiri, beliau merupakan satu-satunya diktator yang turun sukarela setelah memerintah Malaysia selama 22 tahun.

Salahlah, beliau bukan sukarela sangat nak turun 'takhta'.

Atuk Apanama sebenarnya lebih suka jadi macam Lee Kwan Yew. Dalam kes Lee, turun memanglah dah turun, tapi masih berkuasa. Jadi bila dah nampak bibit Atuk Suka Tidur tidak mempedulikan kuasanya, Atuk Apanama telah mengganyangnya habis-habisan.

Aku mengingati perlakuan Atuk Apanama di Sabah dengan crystal clear. Beliau telah mencincang kestabilan politik negeri ini semahu-mahunya atas nama kestabilan politik (itu semua auta atuk saja) apabila BN mengambil kuasa 1994 dulu. Atuk Apanama telah mengapartheidkan kami melalui perubahan persempadanan demi persempadanan kawasan pilihan raya untuk memisahkan bumiputera islam dan bukan Islam.

Sempadan 56 Dun kini menjadi pelik, mengikut komposisi kaum dan menyusahkan hal-hal pentadbiran. Setiap Dun boleh melangkaui pentadbiran dua tiga pentadbiran daerah yang berlainan setiap satu. Silalah bertandang ke sini kalau tidak percaya.

Kemudian Ketua Menteri digilir-gilirkannya sehingga negeri kami mempunyai bekas Ketua Menteri paling ramai di Malaysia.

Tetapi pokoknya Atuk Apanama memang kuat. Bila beliau membeli YB, bukan hanya dua tiga orang YB yang sanggup menjual badan, tapi ramai. Jadi beliau lebih kuat berbanding dengan Pak Jib yang berfikir beliau boleh menguasai satu negeri hanya dengan membeli 3 orang ADUN. Sepatutnya, jika impian besar menggunung seseorang itu harus mampu berbelanja lebih besar.

Keadaannya juga berbeza Pak Jib, soalnya pengambilalihan berjaya di Sabah bukan kerana Pairin bersifat gentleman sementara Ngee dan Nizar tidak. Pada masa itu Pairin bukannya ingin menjadi gentleman, tapi beliau bersifat calculative. Pandang kiri dan kanan, hadapan dan belakang beliau tiada kemampuan dan rakan sekutu untuk melawan.

Sekarang ini lain pula halnya. Pakatan pembangkang lebih tersusun dan kuat berganda-ganda berbanding dengan keadaan Pairin yang terpinggir sendirian pada tahun 1994 yang lalu. Sekarang ianya boleh diibaratkan keadaan “bertemu buku dengan ruas” dan kemewahan seperti ini tidak diperolehi oleh Pairin satu setengah dekad yang lampau. Jadi tidak hairanlah ketika itu, dengan sedu sedan dan mengesat cermin mata, beliau menerima hakikat kerajaannya telah digulingkan.

Tetapi ini pun berbaloilah.

Lebih sedikit dari sedekad kemudian, Pairin telah kembali semula ke dalam kerajaan negeri sebagai anggota senior komponen BN. Ada perubahan, dari nombor 1 Pairin menjadi nombor 2. Tapi bagi sang tikus, nombor guni beras tidak penting. Yang penting, di dalamnya tetap ada beras!
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

Babad Views

Babad Editor

Popular Posts

 
Babad Support Sites : Kadayan Chronicles | Kadayan Chronicle | Babad Kadayan
Copyright © 2013. Babad Kadayan - All Rights Reserved
Template Created by Kadayan Chronicles Published by Babad Kadayan
Proudly powered by Blogger