Home » , , » Jeffrey - STAR : Nasionalisme A La Apartheid

Jeffrey - STAR : Nasionalisme A La Apartheid

Written By Unknown on Thursday 26 July 2012 | 09:30

Jeffrey Kitingan bukan ketua pembangkang Sabah dan tidak boleh memaksa orang lain mengikut telunjuknya. 


SAPP  telah melalui penjenamaan semula dan sekarang berdiri sebagai parti yang majmuk  untuk mengembalikan hak-hak dan kepentingan politik rakyat Sabah. 


Perjuangan berteraskan nasionalisme sempit mengikut acuan Perikatan / Barisan Nasional yang didominasi oleh Umno telah memenuhi ruang politik negara sejak merdeka.  Gaya ini sebenarnya cenderung dan mirip kepada sistem Apartheid yang pernah diamalkan di Afrika Selatan. Ia merujuk kepada pembingkaian makna kebangsaan, bangsa, perkauman ke dalam ruang pengasingan yang telah ditetapkan. Dasar ini seolah olah mengurung pergerakan politik sesuatu bangsa hanya pada parti-parti yang telah ditetapkan di dalam komponennya. 


Nasionalisme ala apartheid?

Apa yang kurang dalam konteks di Malaysia ialah, bingkai kurungan ini tidak diterjemahkan ke dalam  sempadan fizikal geografi secara khusus seperti di Afrika Selatan. Sebaliknya acuan ini membina sempadan maya politik untuk menghadkan pergerakan setiap bangsa dalam ruang pengasingan berdasarkan parti-parti politik yang membentuk komponen Barisan Nasional. Semua subjek  hendaklah bergerak pada had yang telah ditetapkan dan menyeberangi sempadan-sempadan ini adalah tidak digalakkan.

Maksudnya rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu harus berada pada kelompok bangsa mereka di dalam parti Umno. Rakyat Malaysia berbangsa Tionghua harus berada pada kelompok mereka iaitu parti MCA. Rakyat Malaysia berbangsa India pula harus berada pada kelompok mereka sendiri iaitu parti MIC. Nampak? Ini adalah idea asal sistem Apartheid kecuali, sempadan yang dimaksudkan ini tidak melibatkan sempadan fizikal.


Acuan ini nampaknya berjaya di Malaya kerana banyak sebab yang tidak akan diterangkan di sini kerana bukan fokus perbincangan yang hendak diketengahkan. Natijahnya pada tahun-tahun awal Sabah menyertai Persekutuan Malaysia, bentuk yang sama diperkenalkan di negeri ini sejak 1963 dan berjalan sehingga tahun 1975 dengan Usno-SCA menerajui tampuk pemerintahan.

Rakyat Sabah menolak nasionalisme ala apartheid selama 18 tahun

Akan tetapi, adalah nyata bahawa rakyat Sabah tidak terikat dengan acuan pemikiran nasionalisme Barisan Nasional ini, yang terus menerus tidak pernah berkembang di Malaya sehingga sekarang. Dari tahun 1976 - 1994 iaitu selama 18 tahun yang seterusnya, lanskap politik Sabah didominasi oleh semangat 1Sabah yang lebih asli dan jelas. Dalam tempoh berkenaan acuan nasionalisme ala Apartheid yang diperkenalkan oleh Barisan Nasional berjaya dikaburkan oleh parti BERJAYA dan PBS. Kedua-dua parti ini membentuk teras perjuangan yang lebih cenderung untuk bersifat majmuk yakni melibatkan semua bangsa rakyat Sabah ke dalamnya dan parti politik yang berkuasa bukan berasaskan satu-satu bangsa.

Umno memperkenalkan kembali sistem a la Apartheid di Sabah sejak 1994

Perkara ini tidak disenangi oleh Barisan Nasional, kerana mereka berpendapat acuan yang ada di Malaya harus diguna pakai juga di sini.  Asakan demi asakan terus dibuat dan akhirnya, ya, acuan gaya politik nasionalisme Barisan Nasional dipaksakan ke atas rakyat Sabah dengan melucutkan PBS dari kuasa secara licik pada tahun 1994.

Acuan inilah yang dilaksanakan kembali sepanjang 17 tahun lalu di negeri Sabah, sejak dari 1994. Apa yang menarik, warisan inilah juga yang mahu digunakan oleh Jeffrey melalui gagasan Gabungan Borneo (Borneo-Alliance) yang kononnya semakin popular di Facebook bertujuan mahu mengambil alih tampuk pemerintahan di Sabah.

Saling tidak ubah seperti biawak yang ingin meragut bangkai dari mulut buaya.

Menarik juga kerana, dengan saki baki pengaruh yang ada Jeffrey mahu kembali berpegang dan menegakkan nasionalisme ala Apartheid sebagai teras perjuanganya. STAR pimpinannya dimaksudkan untuk menjadi parti bagi kaum Kadazan Dusun Murut. "Parti Usno" yang tidak berdaftar sehingga kini dijadikan saluran untuk bumiputera Islam. 


Akhir sekali, Jeffrey menjadi agak gusar dengan SAPP. Mahunya, Beliau mahu SAPP menjadi parti untuk orang-orang Tionghua kerana rekod pencapaian parti SAPP di masa lepas. 

Jeffrey mahu menjadi ketua pembangkang Sabah

Masalahnya Jeffrey bukan ketua pembangkang Sabah. Beliau dan partinya harus akur bahawa mereka tidak boleh memaksa orang lain mengikut telunjuknya kalau hanya setakat bertapak di laman-laman Facebook.

Perkara inilah yang menjadikan pucuk pimpinan kanan SAPP mula bersuara setelah sekian lama tidak membalas kenyataan demi kenyataan provokasi mengenainya. Seperti yang diketahui ramai, SAPP telah mengambil keputusan keluar dari acuan nasionalisme sempit BN bermula pada tahun 2008. Lebih dari itu SAPP telah melalui penjenamaan semula sejak hampir empat tahun disampingn mengukuhkan pendirian sebagai parti yang bersifat majmuk dalam usaha untuk mengembalikan hak-hak dan kepentingan politik rakyat Sabah pada kedudukan yang sepatutnya. 



Jadi apabila soal kecerdikan Jeffrey dibangkitkan oleh sahabat handai beliau di dalam PBS beberapa hari lepas, soal ini boleh difahami. 'Ketidak cerdikan' ini bukan terhad kepada perkara yang disebut oleh pemimpin PBS berkenaan, sebaliknya boleh juga dilihat dalam soal pengambilan acuan perjuangan yang dilakukannya sekarang ini. Jeffrey seperti sedang melakukan dua perkara iaitu sama ada dia ingin berundur ke zaman Usno, atau membantu Umno mengukuhkan acuan nasionalisme yang ada di Sabah sekarang ini. 

Jeffrey mahu terus mengukuhkan nasionalisme ala apartheid

Tidaklah diketahui pula sama ada Jeffrey sedang bernostalgia dan ingin berundur ke zaman Usno-Sca dengan membentuk gabungan STAR-'Usno' dengan menjadikan parti 'Usno' yang tidak berdaftar sebagai 'rakan' sekongkolnya. Parti Usno sudah tidak wujud lagi sejak 1994, terima lah hakikat ini dengan hati yang terbuka.


Penyokong-penyokong partinya, STAR tentu akan marah-marah di Facebook jika dikatakan mereka merupakan ejen Barisan Nasional untuk mengkucar-kacirkan pembangkang Sabah. Tetapi adalah jelas formula Gabungan Sabah yang beliau ada sekarang, tidak lebih dari satu percubaan untuk meneruskan acuan yang ala Apartheid yang diperkenalkan semula secara paksa oleh Umno sejak 1994. 


Cerdik? (Nabil) "Lu fikirlah sendiri"
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

Babad Views

Babad Editor

Popular Posts

 
Babad Support Sites : Kadayan Chronicles | Kadayan Chronicle | Babad Kadayan
Copyright © 2013. Babad Kadayan - All Rights Reserved
Template Created by Kadayan Chronicles Published by Babad Kadayan
Proudly powered by Blogger