Home » , , » Pembangkang Sabah Bersatu? Langgar Saja Bah!

Pembangkang Sabah Bersatu? Langgar Saja Bah!

Written By Unknown on Monday 30 July 2012 | 09:04

"Kalau mahu bersatu, masuklah ke dalam BARISAN NAJIB  kerana di situ ada '1Malaysia'"




(Kemaskini pada 30 Julai, 2012 14.30)


Bertalu-talu dicanang saban hari. Gesaan supaya pembangkang bersatu untuk menghadapi BN di Sabah. Cadangan ini nampak mudah untuk diketengahkan. Idealnya supaya tidak memecahkan undi pembangkang dan akan meningkatkan kemungkinan untuk pembangkang menang dalam kawasan-kawasan yang ditandingi semasa pilihanraya umum nanti.


Tapi jika difikirkan semula, apakah jadah hendak menyuruh pembangkang bersatu? 


Namanya kan pembangkang. Pembangkang maksudnya menawarkan pelan alternatif setiap satunya berlainan di antara pembangkang yang berbeza-beza, berdasarkan matlamat masing-masing. Untuk meraih sokongan rakyat, pelan alternatif ini haruslah menarik, mempunyai isi (substance) dan dicapai dengan cara baru dan tersendiri pula. Hanya dengan ini alasan kewujudan setiap pembangkang berkenaan dapat diperjelaskan. Oleh kerana jurang perbezaan yang besar, usaha mencari titik pertemuan (common ground) dari setiap satunya bukan sesuatu yang mudah, jika tidak mustahil. 


Maka soalnya di mana titik pertemuan yang boleh dipersetujui bersama? 


Ambil contoh yang berlaku pada parti-parti pembangkang yang berpengkalan di Sabah. STAR-'Usno'  (sehingga kini Usno bukan merupakan parti berdaftar) yang berlandaskan pendekatan nasionalisme ala Apartheid beriya-iya hendak bersatu dengan SAPP yang berteraskan landasan majmuk (pelbagai bangsa). SAPP merasakan boleh bertanding di mana-mana atas alasan landasan prinsip perjuangan majmuk mereka. Akan tetapi STAR-'Usno' merasakan dengan berbuat begitu SAPP akan 'menceroboh' sempadan maya politik yang mereka telah ciptakan dan telah diasingkan (segregated) mengikut bangsa. 


Apa pilihan yang SAPP ada. 


Hendak bertanding di kawasan bumiputera Islam, 'Usno' kata jangan. Mahu bertanding di kawasan kadazan dusun murut, STAR kata itu kawasan mereka. Lebih dari itu, mereka mendesak agar SAPP menghadkan pergerakan di kawasan-kawasan Tionghua sahaja.




Jika dilihat dari sudut mana sekalipun, jelas titik kompromi sukar dicapai sampai bila-bila. Perbalahan ini timbul di peringkat asas perjuangan masing-masing. Dengan itu satu-satunya jalan adalah dengan menguji kepercayaan masing-masing melalui kotak undi semasa pilihanraya umum.


Tidak hairanlah kenapa sesetengah pihak berpendapat bahawa barisan pembangkang bersatu merupakan suatu utopia. Bagi mereka gagasan untuk bersatu adalah jalan penyelesaian yang tidak praktikal untuk menambahkan kekuatan barisan pembangkang di negeri ini. 


Jika hendak bersatu, masuklah ke dalam Barisan Najib kerana di situ ada '1Malaysia'.


Untuk pembangkang berjaya, ia memerlukan pengukuhan dan penzahiran jatidiri yang boleh dirasakan oleh masyarakat Sabah sendiri sehingga boleh memilih calon-calon yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpindengan lebih jelas. Selain itu, kecualilah semua pembangkang bersikap memperjudikan nasib dan bersikap bidan terjun untuk mencuba untung timbul nasib untuk pilihanraya yang terdekat, usaha mereka 'timing', masa yang sesuai untuk berjaya. 


Mungkin pihak pembangkang harus melihat penyelesaian yang lebih praktikal dari pengalaman konglomerat antarabangsa. (multinational conglomerates). Selama lebih satu dekad, Nokia merupakan pemimpin di dalam industri perkakasan komunikasi telefon bimbit. Antara pesaing-pesaing utamanya termasuklah Motorola, Sony-Ericson, Samsung dan LG. 


Soalnya di sepanjang tempoh itu, adakah cadangan untuk semua pesaing-pesaing ini bersatu untuk menghadapi Nokia? 


Tidak. Sedangkan bersatu tentu akan meningkatkan kemungkinan pesaing untuk menjatuhkan Nokia. Sebaliknya, semua pesaing telah menumpukan usaha untuk mengukuhkan jatidiri syarikat dan menunggu masa yang sesuai untuk menjatuhkan Nokia. Masa sesuai  (the right timing) baru-baru ini telah tiba dengan kewujudan sistem operasi Android. Sekarang Nokia telah menerima padahnya dan dijangka terpaksa memberhentikan 10,000 pekerja menjelang akhir tahun 2012.


Ikhtibar dari kisah di atas? Lawan tetap lawan walaupun harus bersendirian. 


Dua perkara yang perlu disedari ialah, bertanding satu lawan satu bukan semestinya menguatkan pembangkang, malah ia mungkin akan menguatkan peluang kemenangan Barisan Nasionaal. Bertanding ramai-ramai pula bukan saja memecahkan undi pembangkang, ia akan turut memecahkan undi Barisan Nasional


Contohnya jika hanya Umno dan STAR bertanding, penyokong  SAPP, KeAdilan, DAP atau Pas boleh jadi mengundi Umno kerana ingin mensabotaj akibat tidak berpuas hati calon mereka tidak diberi peluang bertanding. Sebaliknya, Jika semuanya bertanding penyokong Umno, STAR, SAPP, KeAdilan, DAP atau Pas masing-masing akan mengundi parti yang tersedia berdasarkan calon yang bertanding. Pengundi Umno mungkin akan mengundi SAPP, KeAdilan atau Pas atau parti lain bergantung kepada calon yang bertanding. 



"satu lawan satu boleh memenangkan Barisan Najib
tanding ramai-ramai boleh memecahkan undi Barisan Najib"


Penyokong Umno yang tidak sukakan STAR tidak semestinya tidak sukakan calon parti STAR, SAPP, KeAdilan, DAP atau Pas yang bertanding. Perlu juga diingatkan Umno tidak mempunyai penyokong taksub di Sabah selain dari menginginkan habuan habuan kewangan yang bergantungan di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan negara. Faktor pilihan calon yang bersesuaian memang akan turut mengurangkan undi kepada Barisan Nasional, bukan kekurangan undi di pihak pembangkang semata-mata. Apabila terlalu kurang, maka undi kepada barisan nasional hanya tinggal datangnya dari beberapa kerat penyokong tegar dan undi-undi hantu yang mereka taja, Itu saja.


Jadi langgar sajalah bah. Kalau hendak sangat mahu bersatu, lebih selamat untuk masuk ke dalam 'geng' kerajaan.
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

Babad Views

Babad Editor

Popular Posts

 
Babad Support Sites : Kadayan Chronicles | Kadayan Chronicle | Babad Kadayan
Copyright © 2013. Babad Kadayan - All Rights Reserved
Template Created by Kadayan Chronicles Published by Babad Kadayan
Proudly powered by Blogger