Melayu tuan, tuan melayu
"Kasihkan watan itu sebahagian daripada iman” – maksud satu hadis Rasulullah SAW.
Akan tetapi “ketuanan melayu” adalah termasuk dalam as'abiyyah, amalan jahiliyah yang dikutuk. Ia adalah sejenis perasaan taksub akan bangsa sendiri melebihi bangsa lain.
Mereka menerangkan konon ketuanan melayu bukan bermaksud supremacy, tapi hegemony. Tapi aku orang melayu juga. Aku tahu apa maksud perkataan “tuan”. Lawan perkataan "tuan" pula ialah “hamba”.
Kononnya, sang supremo berhujah kepada orang yang mengkritik “ketuanan melayu” bahawa “Kamu harus faham sejarah orang melayu untuk memahami maksud sebenar ketuanan melayu”, mereka berhujah.
Okeylah, lagipun aku juga bukan orang yang buta sejarah.
Kali ini aku menulis sedikit mengenai “tuan melayu” dari sudut sejarah bagi menyahut cabaran mereka.
Cuma terus teranglah, sejarah adalah sejarah walaupun pahit. Jika anda ingin membaca sejarah yang bunyinya lemak manis, aku syorkan anda membaca buku teks sukatan pelajaran sekolah menengah Malaysia, bukan artikel ini.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------
Adakah yang namanya tuan melayu ini dan melayu manakah yang menjadi tuan?
Melayu Tuan
Aku mengakui, memang ada.
Di antara banyak-banyak spesis melayu, empat daripadanya memang berjiwa tuan. Spesis berkenaan adalah orang Jawa, Melaka (kemudian menjadi melayu Johor-Riau), Brunei dan orang Bugis.
Keempat-empat spesis ini adalah melayu paling agresif dan kuat menyimpan rasa ketuanan dalam diri di dalam sejarah lampau.
Satu masa dahulu orang-orang Jawa Sri Wijaya dan kemudian Majapahit menjarah sekitar nusantara sekaligus membentuk empayar yang luas. Dengan ertikata lain, menjadi melayu tuan. Pada masa itu, orang- orang Jawa adalah merupakan melayu berbulu Hindu.
Mara ke hadapan, timbul pula kerajaan Melaka di semenanjung Tanah Melayu. Mereka juga merupakan melayu Hindu sebelum bertukar kulit menjadi melayu Islam dengan empayar yang tidak kurang luasnya.
Setelah dikalahkan oleh Portugis, keturunan kesultanan ini diasak bertempiaran ke Perak dan ke kawasan Johor-Riau membentuk kerajaan baru.
Kerajaan Johor-Riau merupakan satu dari tiga paksi keseimbangan kuasa di Sumatera dan Semenanjung di dalam kurun ke 17 antara Johor, Aceh dan Belanda. Spesis melayu ini memang mempunyai rasa ketuanan.
Di Borneo, ada juga spesis melayu tuan. Pada kurun ke 17 melayu Brunei menjarah hampir pusing keliling pantai Borneo, tapi tidak jauh ke daat, mereka tidak begitu berani ke pedalaman. Ini tidak menghairankan; hampir semua melayu tuan hanya kuat di laut. Di lautan, orang Brunei menyeberang hingga ke selatan Filipina kerana ingin menjadi tuan.
Dua kurun selepas itu giliran mereka pula dibelasah cukup-cukup oleh James Brooke – dari spesis Inggeris tuan.
Tuan Melayu
Namun spesis yang paling tebal rasa ketuanan mereka tidak lain tidak bukan ialah orang Bugis. Jangan pandang mereka dari sudut keluasan kawasan empayar. Itu mereka tidak punya banyak.
Tapi cubalah pandang dari rasa ketuanan diri mereka yang sangat unggul. Mereka ada satu budaya yang tiada pada diri mana-mana melayu lain. Mereka punya “sirri”; jiwa tuan melayu yang tiada tolok bandingan.
"Sirri” adalah konsep unik yang menggerunkan. Jika ada yang tidak kena antara mereka dengan raja; sebagai rakyat, mereka mungkin tidak menentang baginda dengan memberontak. Sebaliknya mereka akan mengangkut harta benda, anak bini, saudara mara, kaum kerabat dan sahabat handai yang ada lalu berkampung di negeri lain. Maksudnya mereka tidak mahu lagi bertuankan raja itu.
Mereka membuat kerajaan baru Samarinda di Borneo kerana “sirri”. Mereka berkampung di Vietnam. Mereka menjarah hampir semua keluarga raja-raja di Tanah Melayu dan kepulauan Riau-Lingga. Mereka mengahwini puteri-puteri raja yang menjadi mangsa dan kemudian meletakkan keturunan mereka yang masih kecil sebagai raja yang baru.
Jika sang supremo boleh mencipta istilah tambahan “ketuanan melayu super”, maka gelaran ini layak dipegang oleh orang bugis.
Melayu Kampung
Selain dari empat spesis melayu ini, yang lain tidak bercita-cita menjadi tuan melayu.
Bukan itu saja, mereka sebenarnya tidak mampu untuk menjadi tuan. Mereka sekadar mempertahankan tanah pemerintahan yang semakin menjadi sekangkang kera, tidak lebih dari itu. Mereka adalah melayu kampung, bukan melayu tuan.
Ahli sejarah sering menyalahkan penjajah Inggeris, Belanda dan Portugis sebagai sebab mereka tidak lagi menjadi tuan.
Tetapi sebenarnya pada masa itu memang semua kerajaan melayu di Tanah Melayu dan di Borneo menjadi sangat lemah, tambah-tambah lagi di semenanjung setelah dijarah Bugis.
Kuasa Johor-Riau-Lingga semakin surut. Akhirnya Johor terpisah langsung dari pusat pemerintahan Riau-Lingga. Bendahara Abdul Jalil menjadi sultan Johor. Kemudian Sultan Johor dari keturunan ini disisih dengan diberikan hanya daerah Kesang untuk memerintah. Keluarga Temenggong - Sultan Abu Bakar bin Temenggong Daeng Ibrahim pula dinaikkan menjadi raja.
Pahang tidak bercita-cita menjadi tuan. Apabila kuasa Johor semakin lemah, Pahang membebaskan diri dan keluarga Bendahara - bermula dari Bendahara Tun Abbas menjadi raja.
Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu terkapai-kapai di tangan Siam sehingga tahun 1906.
Sultan Brunei hanya berkuasa di halaman istana baginda.
Kerajaan Banjar tidak menjadi tuan.
Kerajaan Kutai juga tidak. Tidak dinafikan Kutai dan Brunei silih berganti berkuasa di Borneo mengikut zaman masing-masing, tetapi Kutai tidak menjangkau keluar dari pulau Borneo. Dari itu ia tetap merupakan melayu kampung.
Melayu Kasihan
Selain melayu kampung, spesis melayu berikut adalah melayu kasihan; bukan tuan melayu.
Melayu kasihan yang paling awal ialah orang Champa. Mulanya hampir keseluruhan kawasan pantai Vietnam merupakan jajahan mereka. Kisah mereka begitu menarik, sehingga diabadikan di dalam karya kuno "Syair Siti Zubaidah" berlatarbelakangkan negeri Kembayat yang terkenal itu. Namun mereka semakin dikucilkan, semakin diusir dan akhirnya hari ini hanya tinggal bapukung di sebuah kampung di Kampuchea - Kompong Chom.
Melayu Patani juga merupakan melayu kasihan.
Melayu Moro di Filipina juga melayu kasihan.
Dari sudut mana pun kita pandang, mereka bukan tuan melayu!
Melayu Survival
Lagi aku lanjutkan pasal spesis melayu lain. Melayu survival yang sering orang terlepas pandang hanya kerana mereka ini telah menjadi umat Kristiani. Mereka ialah melayu Marina di Madagascar dan melayu Chamorro di Guam, yang meredah lautan berkurun-kurun lampau untuk mencari kehidupan baru. Tapi, mereka juga bukan tuan melayu.
Bagaimana dengan melayu eksport?
Melayu Eksport
Spesis ini merupakan melayu yang dieksport keluar dari dunia melayu akibat penjajahan. Melayu Cape di Cape Town, melayu Sri Lanka, melayu Cocos dan kepulauan Krismas serta melayu Surinam di Amerika Latin. Mereka juga bukan merupakan melayu tuan.
Melayu Tiada Tuan
Di penghujung semua itu, kelihatan melayu Kedayan – spesis melayu asing tanpa tuan. Di Kutai mereka tidak dikira, di Brunei pula tidak dihitung. Kemahiran mereka hidup ialah bersendirian.
Kemampuan mereka berhadapan dengan budaya ngayau dan penjarahan yang berterusan di sekeliling kampung-kampung daat mereka sejak beratus-ratus tahun lampau bolehlah dikira sebagai suatu keajaiban. Ini kerana mereka sepatutnya termasuk dalam golongan yang diayau, bukan mengayau.
Ketuanan Melayu
Berbalik kepada soal ketuanan melayu.
Ironinya sekarang ini, suara “ketuanan melayu” yang paling lantang di Malaysia datang dari Johor – satu dari empat melayu tuan yang pernah ada. Kawasan ini juga sebenarnya amat kuat dipengaruhi oleh dua lagi tuan melayu yang bertandang dan berkampung di sana, iaitu Jawa dan Bugis. Jika tidak silap ini termasuklah pandeta tua “ketuanan melayu” yang lancang itu.
3-in-1.
3-dalam-1.
Jawa-Bugis-Johor.
Tidak hairanlah kenapa mereka ini lantang menuntut “ketuanan melayu” di Malaysia. Antara lain, ini merupakan masalah keturunan. Jiwa tuan mereka sudah tentu telah membuak-buak ingin kembali menjadi tuan.
Sang pandeta, bernostalgiakah tuan?
Walaupun 3-in-1, tuan tidak akan mampu menjarah kami sekali lagi. Kami sendiri ingin mencipta ketuanan baru yang sifatnya lebih kontemporari iaitu, “ketuanan orang waras”.
Source: kadayanchronicles.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment