Home » » Ketuanan Melayu 3

Ketuanan Melayu 3

Written By Unknown on Monday, 19 May 2008 | 08:59

Ketuanan, tapi bukan tuan?

Jus soli dan hak istimewa orang melayu merupakan dua perkara yang melambangkan tolak ansur setara semasa nenek moyang kita hendak merdeka 50 tahun dahulu.

Kanak Supremo - Sitiveni Rabuka

Aku tekankan sekali lagi, ia adalah syarat kontrak yang setara, bukan syarat yang ikut sesedap rasa saja.

Maksud setara ialah kalau “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi”. Kedua-duanya merupakan perkara besar kepada semua penduduk negara ini.

Mungkin lebih mudah jika kontrak sosial ini dibincang dalam konteks perundangan.

Tetapi siapalah yang suka membaca teks berbau perundangan yang begitu panjang melalut serta membosankan. Orang kita pun bukan suka membaca sangat.

Jadi biar aku cuba menuliskan begini.

Bagi orang melayu kontrak sosial ini bermaksud "kami benarkan orang-orang bukan melayu menjadi rakyat malaysia, tapi kami mesti dapat hak istimewa."

Syarat ini di balas oleh orang-orang bukan melayu dengan menjawab "kami sanggup orang-orang melayu mendapat hak istimewa, tetapi kami mesti dapat menjadi rakyat di negara ini".

Ia benar-benar satu pernyataan yang sangat jelas dan mudah. Satu masalah besar ialah sang supremo sangat kemaruk dan lapar untuk menjadi tuan.

Bagi mereka ini, apa nak jadi pun jadilah.

Di tangan mereka intipati dan nilai murni kontrak sosial yang begitu mudah dibiutkan, menjadi biut bimbang dan pokok pangkalnya hampir tidak dapat dikenali lagi.

Kononnya hak istimewa orang melayu itu merupakan landasan kepada “ketuanan melayu”.

Salah tu, salah. Perjanjian Waitangi di New Zealand juga menetapkan hak orang-orang Maori. Undang-undang mengenai Natives Reserves di Amerika Syarikat juga memberikan hak kepada orang-orang Red Indian. Aborigines Act di Australia juga memberikan hak kepada golongan pribuminya.

Soalnya, adakah kaum-kaum yang aku sebutkan tadi menjadi supreme berbanding dengan kaum lain di negara mereka?

Hak istimewa TIDAK merupakan apa-apa landasan untuk menjadi tuan. Sebaliknya, tidak syak lagi “malay supremacy” adalah satu perkara yang merbahaya kepada perpaduan kaum.

Ia juga adalah perlanggaran kepada kontrak sosial yang menjadi teras pembentukan negara kita.

Kerananya aku jadi berhak menyoal tahap kecerdikan para 'cendikiawan' biut yang mendalanginya.

Ketuanan melayu adalah sentimen berapi. Itu saja. Yang namanya keinginan supremacy, tidak pernah hasilnya akan menjadi positif kepada mana-mana negara sekalipun. Buktinya sejak bangsa Kanak di Fiji mengamalkan sentimen ini secara terang-terangan dan sementelaah Sitiveni Rabuka menjadikan “kanak supremacy” sebagai batu loncatan politiknya pada tahun 1987, Fiji terus menerus dilanda gejolak politik sehingga sekarang.

Bagaimanapun di Malaysia, Sang Supremo setakat ini hanya pandai berborak membakar semangat semangat orang melayu sehingga separuh hangus, kemudian berdolak dalik mengenainya.

Ketuanan melayu bukan untuk menjadi tuan, kata mereka.

Munafikkah, tenggelam puncakah atau memang bodoh?

Tiada “ketuanan melayu” tanpa menjadi “tuan”. Malah ia harus dinamakan semula sebagai konsep “bukan-ketuanan melayu” jika benar begitu.

Lagi, jangan seret raja-raja melayu kedalam sentimen yang merbahaya ini. Jika masih ada rasa hormat kepada perlembagaan aku cadangkan, hentikanlah. Soal ketuanan melayu yang sangat asing ini tiada kena mengena dengan ancaman kepada institusi raja.

Di Malaysia, hak istimewa dan institusi raja adalah umpama betis. "Ketuanan melayu" atau apa apa ketuanan sekalipun sama ada "ketuanan cina", "ketuanan india", "ketuanan dayak" atau "ketuanan kadazan" di Malaysia, semuanya adalah umpama peha. Pendukung sang supremo dengan ini adalah umpama kaduk naik junjung, umpama belanda minta tanah, diberi betis nakkan peha.

Mereka ini dah terang-terang nak melanggar perintah Tuhan. Allah SWT telah menyatakan dalam Al-lQuran bahawa yang berbeza di sisiNya adalah taqwa seseorang, bukan bangsa yang ingin menjadi tuan.

Source: kadayanchronicles.blogspot.com

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

Babad Views

Babad Editor

Popular Posts

 
Babad Support Sites : Kadayan Chronicles | Kadayan Chronicle | Babad Kadayan
Copyright © 2013. Babad Kadayan - All Rights Reserved
Template Created by Kadayan Chronicles Published by Babad Kadayan
Proudly powered by Blogger