Home » » Ketuanan Melayu 5

Ketuanan Melayu 5

Written By Unknown on Monday, 19 May 2008 | 09:57

Nusantara, dunia hybrid

Mungkin dari empat artikel sebelum ini aku kelihatannya seperti sangat benci dengan ketuanan melayu. Bukan. Sebenarnya aku melihat persaudaraan sesama rakyat Malaysia adalah jauh lebih baik dari keinginan bukan-bukan.

India, Nusantara & China

Jangan mengulangi kisah Sultan Mahmud Mangkat Di julang, sanggup membelah perut seorang ibu mengidam semata-mata kerana memakan nangka baginda.

Jangan menghuru-harakan perpaduan kaum semata mata kerana mahu meminta lebih.

Sila lihat peta dunia. Kawasan Nusantara terletak di antara kawasan yang dahulunya dikenali sebagai “benua China” dan “benua Keling”.

Benua Keling, Nusantara dan Benua China

Mari kita buat satu eksperimen mudah. Ambil sekeping kertas. Kemudian lakarkan tiga bulatan secara beriringan sebelah menyebelah di antara satu sama lain. Namakan bulatan pertama sebagai “benua keling”, bulatan kedua sebagai “Nusantara” dan ketiga, “benua China”.

Selepas itu tumpahkan setitik dakwat hitam betul-betul di tengah bulatan benua Keling dan lihat hasilnya.

Anda akan dapati pada epicenter di benua Keling, warna hitam ini akan menompok paling gelap. Menjangkau ke bulatan Nusantara warna gelap ini menjadi semakin semakin kabur dan pudar. Di bulatan China ia semakin putih kerana jangkauan dakwat yang semakin lemah.

Apa maksudnya?

Maksudnya, begitulah rupa warna kulit manusia Nusantara. Warna kulit mereka ada gelap, ada pula yang cerah. Yang gelap, tidak pula segelap orang India. Yang putih kuning langsat, tidak seputih kuning orang Cina.

Periksa hidung mereka. Ada yang mancung, yang kembang dan yang pesek. Teruskan dan teliti mata mereka. Ada yang bundar, ada pula yang sepet.

Aah, itu kan kerana pengaruh iklim, sangkal anda.

Tidak. Bukan.

Maksudnya yang sebenar ialah dunia Nusantara merupakan kawasan pembiakan campuran, kandang hybrid. Selama berkurun-kurun, ia adalah umpama kawah besar yang menerima apa saja untuk dimasak lengkap dengan bumbu-bumbunya sekali, kerana kedudukan strategiknya dan makmur.

Terimalah hakikat bahawa dunia Nusantara adalah gabungan antara pengaruh benua Keling dan benua China baik dari segi fizikal, mahupun bahasa, budaya dan adat resam.

Sebagai contoh, orang Nusantara mengimport bahasa sanskrit sebagai akar bahasanya. Budaya Nusantara menggabungkan budaya India dan Cina dan kemudian mengadaptasi elemen berkenaan ke dalam dunia setempat. Hasil kreativiti mereka, asal usul gabungan ini menjadi seperti kepunyaan mereka sendiri.

Orang Nusantara pernah menjadi orang Hindu dan Buddha yang warak. Mereka membina candi-candi yang menjadi sebahagian dari keajaiban dunia seperti Angkor Wat dan Brobodur. Saki baki adat-resam dan pantang larang masih boleh dikesan dalam budaya mereka pada hari ini.

Penjajah yang pernah menjarah tidak menamakannya sebagai “indo” tanpa sebab. Mereka berbuat demikian kerana dapat mengenali ciri India yang bergelumang di sini. Juga, penjajah juga tidak menamakan “indo-china” tanpa apa-apa sebab. Mereka ternampak ciri-ciri India dan China di sana.

Jelas sekali dari perspektif ini orang Nusantara bukan “tuan” mereka tapi kawan. Orang Nusantara merupakan campuran sifat-sifat fizikal dan budaya yang menggabungkan orang-orang India dan Cina sendiri.

Aku tidak pasti orang Nusantara lebih bijak dari mereka atau tidak. Tetapi konon si Kula bilang, anak campuran bijak-bijak belaka.

Untuk anda yang pura-pura lupa, biar aku ingatkan.

Tanah Melayu dan Borneo adalah sebahagian dari dunia Nusantara.

Aku dan kebanyakan manusia Malaysia sekarang ini adalah manusia merdeka. Aku tidak mengalami sendiri suasana yang dilalui oleh nenek moyang semasa hendak merdeka dahulu.

Tetapi mereka meninggalkan kami suatu legacy yang patut dijunjung tanpa dibiutkan iaitu kontrak sosial. Menyamakannya dengan ketuanan melayu” adalah satu kesilapan dan juga pembohongan yang nyata.



Source: kadayanchronicles.blogspot.com
Share this article :

1 comments:

  1. Salam, tuan empunya blog.
    Menarik entries di sini, teruja membacanya...Semoga sentiasa sejahtera hendaknya.

    ReplyDelete

Babad Views

Babad Editor

Popular Posts

 
Babad Support Sites : Kadayan Chronicles | Kadayan Chronicle | Babad Kadayan
Copyright © 2013. Babad Kadayan - All Rights Reserved
Template Created by Kadayan Chronicles Published by Babad Kadayan
Proudly powered by Blogger