Home » , , » Shahrir, mekanisma baru petrol apanya?

Shahrir, mekanisma baru petrol apanya?

Written By Unknown on Sunday, 13 July 2008 | 23:22

Saya menelan semuanya. Tetapi saya mendapati sebahagian besarnya sangat sukar untuk dihadamkan dan sehingga sekarang; kesemuanya mengkelan di kerongkong.

Shahrir SamadKali pertama saya membaca pengumuman Datuk Shahrir Samad mengenai cadangan kerajaan persekutuan, ‘mekanisme baru’ untuk mengendalikan kenaikan harga bahanapi, saya membayangkan kreativiti yang besar.

Sehari selepas pengumuman harga bahanapi baru, kerajaan membesar-besarkan berita bahawa ia telah 'menjimatkan' wang sejumlah RM13.7 billion.
Kali pertama saya membaca pengumuman Datuk Shahrir Samad mengenai cadangan kerajaan persekutuan, ‘mekanisme baru’ untuk mengendalikan kenaikan harga bahanapi, saya membayangkan kreativiti yang besar. Saya membayangkan kelahiran fikiran baru yang boleh membuka jalan kepada idea unggul dan radikal dan menulis semula sekurang-kurangnya beberapa elemen teori-teori makroekonomi.

Atau mungkin, mengikut imaginasi saya, ahli-ahli ekonomi Malaysia sekali lagi cukup berani mengikut ide-ide luar jangkaan dan diperbaharui seperti yang pernah mereka lakukan; langkah tambatan ringgit pada tahun 1997 – 1998. Ia bakal dilaksanakan lebih kurang pada bulan Ogos, 2008, ‘mekanisma baru’, tambah beliau.

Nah, ini barulah, saya berkata sendiri.

Ia harus sesuatu yang sangat serius, sistematik dan dikaji secara mendalam, dan komuniti ekonomi akan bercakap mengenainya bertahun-tahun kemudian. Sebagai rakyat biasa, saya percaya apa saja langkah yang dirancang, ia akan mengambilkira kemaslahatan rakyat terbanyak.

Selebihnya adalah sejarah. Sehubungan dengan pengumuman itu, saya rasa kita berhak meminta pembetulan. Ia bukannya ‘mekanisma baru’ di dalam ekonomi, sekali-kali bukan. Ia adalah gambaran suatu keadaan yang berlaku jauh ke belakang semasa era Adam Smith. Ia merupakan situasi merchantilism yang sangat lama, bukannya satu penyelesaian, lama sebelum makroekonomi diperkenalkan. Ia adalah keadaan ‘tangan tersembunyi', keadaan “laissez faire” – kembali kepada mekanisma harga pasaran penawaran dan permintaan bahan api – tanpa sedikitpun mengandalkan fungsi kerajaan di dalam ekonomi.

Sangat mengecewakan, sama seperti yang dilakukannya ke atas kantung saya, atau jug kantung sesiapa pun di Malaysia. Bayangkan, 43% kenaikan harga bahanapi serta merta. Seorang blogger berharap bahawa pengumuman mengenainya akan dibuat pada tengah malam atau subuh nanti, jika kerajaan hendak mengumumkan kenaikan baru. Dengan berbuat demikian, dia berharap masyarakat yang berfikiran sempit tidak berpusu-pusu ke stesen petrol dan menggendalakan lalu lintas untuk tujuan aktiviti membeli minyak di saat akhir, seolah-olah petrol terakhir yang mereka beli bakal bertahan bertahun-tahun kemudian.

Sudah tentu seseorang, atau sesuatu, harus dipersalahkan kerana menjadikan kita semakin miskin. Persalahkan Pak Lah, persalahkan Petronas, persalahkan kereta kita, persalahkan minyak dan persalahkan apa saja yang berkaitan dengan bahanapi.

Kenapalah agaknya kerajaan sangat membenci subsidi petrol, saya sangat bingung.

Umpamanya, tidak terkira hujah-hujah mengenai manafaat besar yang mungkin diperolehi oleh rakyat Malaysia jika kerajaan menarik balik wang RM53 billion (atau RM59 billion, atau berapa saja jumlahnya) subsidi petrol dan menukarnya menjadi bantuan kepada orang-orang miskin tegar.

Sementara yang lainnya berhujah bermati-matian mengenai kenapa kerajaan begitu berani merosakkan momentum indeks harga umum hanya semata-mata kerana RM13.7 billion. Persoalan ‘kenapa’ ini berterusan, dan dalam masa yang sama perbelanjaan harian untuk kuantiti petrol yang sama kita gunakan melompat hampir dua kali ganda berbanding sebelumnya.

Saya memilih untuk menyalahkan ahli-ahli ekonomi Malaysia, bukan ekonomi, bukan juga subsidi. Mereka telah memberi nasihat yang salah kepada kerajaan, pada hemat saya. Sekarang ini saya rasa, orang-orang ini bekerja bermati-matian untuk mengurangkan kerosakan yang telah dilakukan – oleh mereka.

Saya menyalahkan mereka kerana, tidak kira dari mana anda belajar mengenai ekonomi – Cambridge, Oxford, Harvard atau, dari universiti tempatan; asasnya tetap sama. Asas makroekonomi konvensional ialah mengenai peranan kerajaan di dalam ekonomi. Lagi pula, satu dari empat fungsi asas kerajaan ialah untuk mempastikan stabiliti tingkat harga umum. Mengenai tingkat harga umum, ia mewakili keseluruhan purata harga barangan dan perniagaan di dalam ekonomi. Di sini, mempastikan kestabilan bermaksud mengawal inflasi.

Saya merasakan kehadiran minda yang sukar dan sempit fikiran dari mula lagi. Saya berkata demikian dengan melihat apa yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum memperkenalkan ‘mekanisme baru’ yang sebenarnya sangat lapuk. Mereka telah memperkenalkan langkah sementara untuk bahanapi. Jadi kerajaan telah melarang penjualan bahanapi di dua hujung sempadan semenanjung, di pos utara dan selatan – stesen minyak tidak dibenar menjual bahanapi kita kepada orang asing, arahan kerajaan.

Langkah ini memang sangat ‘sementara’; ianya ditangguh dan dikaji semula hanya selepas beberapa hari dilaksanakan. Sebabnya? Yang jelas, kerana ia tidak praktikal.

Tetapi apa sebabnya yang sebenar? Saya tidak tahu, tetapi sesiapa yang telah mengajukan cadangan berkenaan telah tinggal di bilik berhawa dingin terlalu lama sehingga tidak lagi berpijak di bumi nyata.

Ahli-ahli ekonomi yang sungguh kasihan. Mungkin kekurangan sumber ekonomi sekarang berada di kemuncaknya. Cuba tonton TV – dalam masa-masa kritikal seperti ini, di kebanyakan masa mereka tetap mencari untuk mewawancara professor tuna nitra yang sama dari katil hospital beliau.

Kerajaan, seperti kita, tidak mampu menafikan bahawa ia sangat sibuk mengendalikan impak selepas keputusan dibuat sekarang ini. Impak sebenar kenaikan bertimpa-timpa sama ada serta merta atau secara perlahan, cepat atau lambat. Sementara itu, media arus perdana menghidangkan kita dengan banyak maklumat bagi pihak kerajaan, berat kepada memberikan alasan ke atas langkah yang dilakukan.

Saya menelan semuanya – lagipun saya tidak merasakan niat buruk di pihak kerajaan, selain dari perhitungan yang buruk. Tetapi saya mendapati sebahagian besarnya sangat sukar untuk dihadamkan dan sehingga sekarang; kesemuanya mengkelan di kerongkong. Sebagai contoh, sehari selepas pengumuman harga bahanapi baru, kerajaan membesar-besarkan berita bahawa ia telah 'menjimatkan' wang sejumlah RM13.7 billion. Kemudian, wang itu akan diguna sebagai subsidi makanan dan barang lain, sementara orang-orang Sabah mendapat manafaat yang terbesar.

Sebagai orang Sabah secara jujur saya menghargainya. Harga bahanapi meningkat; umum mengetahuinya. Ia akan meningkat lagi; juga bukan rahsia. Harga makanan juga meningkat, kita tahu. Tetapi ini adalah persoalan yang sangat pokok; anda TIDAK BOLEH, mengambil subsidi petrol, dan mengubahnya menjadi subsidi makanan, atau apa-apa subsidi yang lain. Congak terbaik, perhitungan bijak – jika tidak mampu meningkatkannya, pertahankan; demi untuk mengelakkan kerosakan yang besar kepada ekonomi kerana sebab-sebab berikut.

Pertama, apabil harga bahanapi meningkat, ia akan mengheret tingkat harga umum bersama-samanya. Petroleum bukan hanya sekadar barangan di dalam ekonomi. Ia adalah sumber tenaga utama bagi semua industri dan sektor awam, terutamanya, sebagai sumber elektrik dan pengangkutan. Ia adalah fungsi kepada semua pengeluaran, selagi proses pengeluaran berkenaan melibatkan penggunaan tenaga dan pengangkutan di dalamnya. Jadi peningkatan harga bahanapi mengakibatkan rentetan reaksi rantaian ke belakang kepada indeks harga umum di sesebuah negari. Ia MERUPAKAN faktor penolak kos pengeluarang bagi semua industri dan akhirnya harga bagi setiap barangan dan perkhidmatan di dalam ekonomi akan meningkat. Mengambilkira keadaan ini, kesan kenaikan makanan ke atas ekonomi adalah jauh lebih kecil sebagai perbandingan.

Kedua, jika berlaku penurunan di dalam harga bahanapi; tipis kemungkinannya untuk index harga umum akan turun semula. Terimalah hakikat bahawa mekanisme harga pasaran bukan segala-galanya. Atas sebab inilah kenapa ahli-ahli ekonomi membangunkan displin akademik yang baru, dan memanggilnya sebagai makroekonomi. Kerajaan mungkin beralaskan turun naik pasaran untuk meningkatkan harga bahanapi. Tetapi tidak kira berapa tipisnya kemungkinan, jika satu hari nanti harga bahanapi akan turun semula, kuasa-kuasa pasaran malah mekanisme kerajaan sekalipun tidak mampu menurunkan indeks harga umum semula. Kita hidup menggunakan sistem kapitalis, dan memaksimumkan keuntungan adalah matlamat paling teratas bagi setiap perniagaan (firma). Ringkasnya, senang untuk harga meningkat, tetapi sukar untuk turun.

Ketiga, jumlah subsidi sebenarnya juga turun naik berdasarkan harga petroleum. Subsidi bahanapi merupakan tanggungjawab kerajaan selama-lamanya. Tetapi jumlah subsidi, iaitu bebanan, sebenarnya juga turun naik, berdasarkan harga pasaran. Dari perspektif ini, beban berkenaan adalah berat, tetapi ada kalanya ia lebih lebih ringan, atau juga lebih berat. Tetapi ke atas ekonomi, subsidi kerajaan bukan hanya untuk membantu orang miskin, rakyat. Ia lebih lanjut menstabilkan harga bahanapi, dan apabila harga bahanapi stabil, ia agak mungkin boleh menstabilkan tingkat harga umum. Jadinya ia akan mempastikan pertumbuhan ekonomi yang stabil, dan menghasilkan lebih pendapatan 'benar' kepada kerajaan. Selain itu, kerajaan mempunyai lebih kawalan dalaman ke atas ekonomi domestik. Harga bahanapi akan meningkat, tetapi tidak setinggi harga pasaran, atau ia akan menurun tetapi tidak serendah yang ada dipasaran. Subsidi dengan ini bertindak sebagai penyerap, untuk menstabilkan (baca: memperlahankan) pergerakan indeks harga umum i.e. inflasi.

Tetapi memandangkan kerajaan telah berpaling dari subsidi bahanapi, adalah mungkin kita akan menghadapi inflasi radikal – lebih tepatnya dipanggil sebagai inflasi 'tolakan-kos'.

Ini kerana kerajaan telah mendedahkan ekonomi kita lebih kepada mekanisme harga pasaran. Untuk masa ini, ia akur untuk menaikkan gaji pekerja sektor awam – kaki tangan kerajaan.

Sepertinya Santa Claus berada di persekitaran, cuba untuk mengubati luka dengan segala kemurahan hati di sana sini.

Tetapi ini tidak membawa ekonomi ke mana-mana. Ekonomi telah cedera, dan keadaan ini berlaku sangat berkaitan dengan sikap enggan ke atas subsidi.

Saya agak berhemat (baca: bersifat negatif). Inflasi akan melanda dengan keras, dan menimpa sektor perniagaan juga, bukan sekadar sektor umum, hubaya-hubayalah (baca: perniagaan 'tidak bagus'). Untuk pekerja-pekerja sektor swasta, tidak mungkin para majikan akan meningkatkan gaji pekerja jika perniagaan 'tidak bagus'. Oleh kerana perniagaan 'tidak bagus', ia bermaksud, jumlah pengeluaran akan jatuh. Ini merupakan berita buruk kerana proses pengeluaran bergerak secara kitaran. Saiz kitaran yang akan datang pula bergantung kepada saiz sebelumnya. Jadi, jangkakan pergerakan ekonomi yang mengecut di hadapan, bukan pertumbuhan – terutamanya dari segi pertumbuhan ekonomi 'benar'.

Saya menganggap kerajaan sedang mencipta satu lagi kesilapan sekarang kerana tandanya sudah jelas ada. Sekarang ini kerajaan nampaknya memilih untuk mengurangkan perbelanjaan! Maaflah, tetapi ini merupakan kerja bodoh – di dalam keadaan kita menghadapi pengecutan ekonomi, sumber paling penting perberbelanjaan untuk menyegar dan mensimulasikan kadar pertumbuhan ADALAH satu satunya ---> perbelanjaan kerajaan.

Harap-haraplah ahli-ahli ekonomi kita masih ingat perbezaan di antara pendapatan 'benar' dan pendapatan 'nominal'.

Memandangkan inflasi telah mengurangkan pendapatan benar, kenaikan gaji secara lebih kurangnya hanya meningkatkan pendapatan 'nominal'. Kuasa beli sebenar mungkin ditakuk lama atau mungkin lebih kecil.

Untuk lebih memahami keadaan ini, ia adalah seperti kita memiliki wang RM100 dan kos perbelanjaan RM100. Inflasi mengakibatkan perbelanjaan menjadi RM143. Jadi kenaikan gaji seperti yang diberikan oleh kerajaan kemungkinannya hanya berfungsi sebagai pemberian 'nominal' (baca: kenaikan gaji) sebanyak RM30, dan ini tidak mencukupi. Kita masih lagi memerlukan RM13 untuk mengembalikan persamaan asal pendapatan (RM143) dan perbelanjaan (RM143).

Kerajaan mungkin memperkenalkan kenaikan gaji untuk mengurangkan bebanan kakitangan kerajaan. Ia telahpun mencadangkan pembayaran gaji dua kali sebulan. Atau mungkin, mengurangkan kadar cukai pendapatan tahun hadapan, juga mengkaji semula subsidi makanan. Kerajaan juga telah mengumumkan pengurangan perbelanjaan. Jadinya, saya secara jujur mengesa para pembuat polisi untuk mengira semula kos semua langkah-langkah beserta langkah-langkah pembetulan, serta membandingkannya dengan jumlah 'penjimatan' yang agaknya didapati oleh kerajaan. Pertama, RM13.7 billion telah pun habis – kerana kerajaan telah menukarkannya menjadi subsidi lain. Kemudian berlaku pampasan kenderan b******t melalui pejabat-pejabat pos, kenaikan gaji, kehilangan pendapatan kerajaan kerana pengurangan cukai pendapatan dan sebagainya...,

Rasa-rasa jumlahnya jauh melebihi RM13.7 billion. Jadi, setakat bertanya, kerajaan telah menjimatkan RM13.7 billion yang mana?

Kerajaan tidak menjimatkan apa-apa, satu sen pun tidak, jika ia harus meningkatkan perbelanjaan di sana-sini, dan kemudian memotong sumber-sumber pendapatan boleh terima di masa akan datang.

Sukar untuk difikir berapa banyak yang harus kerajaan lakukan sekarang dan nantinya, dan berapa banyak kehilangan kewangan dan kehilangan ekonomi di hadapan – hanya kerana ia enggan untuk meneruskan subsidi petrol, semata-mata kerana RM13.7 billion yang dianggap telah 'dijimatkannya'.

Juga menakjubkan untuk melihat betapa kerajaan telah memilih langkah-langkah sukar, berbanding dengan terus berpegang kepada subsidi. Kerananya, sekarang kerajaan harus membuat begitu banyak pembetulan, satu lepas satu, dan lagi yang akan datang, hanya untuk menjimatkan RM13.7 billion.

Begitu banyak penyelesaian perit yang harus ditanggung; begitu banyak jumlah wang terbabit, dan banyak pendapatan mungkin harus dilepaskan kerana ia tidak mahu terus berpegang kepada subsidi – idea asli, dan jalan yang terang.

Tanyakan ahli-ahli ekonomi yang canggih beserta minda sukar dan merekam memberikan penyelesaian sukar kepada kerajaan untuk menghadapi kenaikan global harga bahanapi. Entahlah kenapa mereka tidak bertanya kepada orang-orang kampung yang berfikiran subsidi, atau orang kampungan yang mendakwa pandai ekonomi seperti saya – kami lebih tahu mengenai kaedah yang lebih mudah. Kaedah itu ialah terus bertahan dengan subsidi bahanapi. Ia lebih mudah dan boleh diurus dan kurang pening kepala. Read English Version

Baca juga: Subsidies are not something wasteful
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

Babad Views

Babad Editor

Popular Posts

 
Babad Support Sites : Kadayan Chronicles | Kadayan Chronicle | Babad Kadayan
Copyright © 2013. Babad Kadayan - All Rights Reserved
Template Created by Kadayan Chronicles Published by Babad Kadayan
Proudly powered by Blogger